Memandangkan penggunaan dron berkembang dengan pesat di Malaysia, pihak kerajaan sedang berusaha untuk mewujudkan dasar dan struktur yang lebih jelas mengenai pesawat tanpa pemandu. Berikut adalah gambaran mengenai beberapa pembangunan peraturan terkini untuk dron dan usaha untuk mengintegrasikan dron dengan selamat ke dalam ruang udara.
Meningkatkan Penggunaan Dron Komersial
Dron semakin banyak digunakan untuk pelbagai aplikasi komersial di Malaysia termasuk:
- Fotografi dan videografi udara
- Pertanian – Pemantauan tanaman dan penyemburan racun
- Ukur dan pemetaan
- Pemeriksaan infrastruktur
- Penghantaran
Peningkatan penggunaan dron ini menimbulkan risiko perlanggaran, kehilangan kawalan, dan menceroboh laluan penerbangan pesawat berpemandu. Di Malaysia sebelum ini, semua penggunaan dron komersial atau hobi memerlukan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Ketiadaan peraturan dron yang spesifik pada mulanya menyebabkan ramai operator komersial mengelakkan proses kelulusan. Walau bagaimanapun, keadaan ini berubah dengan peraturan baharu yang disasarkan kepada dron.
Peraturan Teras
Pada tahun 2021, CAAM memperkenalkan Civil Aviation Directive (CAD) 6011 atau Arahan Penerbangan Awam 6011 dibawah Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (CAR 2016) Bahagian XVI mengenai sistem pesawat tanpa pemandu yang dinanti-nantikan. Ini mewujudkan rangka kerja kawal selia teras Malaysia untuk dron merangkumi pensijilan, operasi, pelesenan juruterbang dan banyak lagi.
Walaupun membenarkan aktiviti dron komersial berisiko rendah beroperasi di bawah keperluan pemohonan asas, Bahagian XVI mewajibkan syarat yang lebih ketat untuk dron besar, penerbangan dalam ruang udara terkawal, dan operasi kompleks lain. Namun begitu, perkhidmatan dron penghantar tidak mustahil dapat dilaksanakan di bawah kelulusan khusus CAD 6011 SUP dengan memenuhi syarat-syarat yang di tetapkan. Operator komersial boleh mengemukakan kertas kerja penilaian risiko operasi yang komprehensif bagi memastikan penerbangan dron penghantar dapat dilakukan dengan selamat dan tidak membahayakan pengguna ruang udara yang lain.
Integrasi Ruang Udara
Di bawah CAR 2016, aktiviti dron tidak dibenarkan di dalam ruang udara terkawal di sekitar lapangan terbang tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa kawalan trafik udara. Penerbangan dron dalam ruang udara Kelas G tidak terkawal melebihi 120 meter memerlukan kelulusan khusus dibawah CAD 6011 SUP mengenai pengurangan risiko. Untuk membolehkan operasi dron yang lebih meluas, alat pengurusan ruang udara seperti geofencing, platform UTM, dan teknologi pengenalan sistem dron adalah penting untuk mengelakkan konflik antara dron dan penerbangan berpemandu.
Langkah Seterusnya
Peraturan dron Malaysia akan terus berkembang untuk mengikuti perkembangan teknologi. Fokus akan datang mungkin termasuk:
- Standard pelesenan juruterbang dron
- Kebenaran penerbangan spesifik untuk perluasan penghantaran dron, pemeriksaan dan aplikasi lain secara meluas.
- Kebenaran penerbangan untuk tujuan pertanian bagi aktiviti penyemburan racun, baja dan benih secara lebih berkesan.
- Memudahkan R&D untuk memajukan keupayaan dron
- Infrastruktur untuk pelaksanaan UTM dan U-space
Sebagai kesimpulan, kesungguhan pihak kerajaan melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) iaitu agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) untuk menyesuaikan dasar sambil mengutamakan keselamatan dan integrasi ruang udara akan membentuk daya saing global Malaysia dalam teknologi dan perkhidmatan dron pada masa hadapan.


Recent Comments